Bila kita merasa susah, kita kena beringat ada orang yang lebih susah daripada kita. Allah itu lebih mengetahui kekuatan hambaNya. Dia pasti beri ujian kepada orang yang betul-betul boleh menempuhinya.
Ujian tu datang dengan pelbagai cara dan bentuk. Manusia biasanya nampak ujian tu adalah seperti perkara-perkara yang tidak baik. Tanggapan itu kurang tepat sebenarnya. Hidup itu sendiri adalah satu ujian. Kejayaan adalah ujian. Rezeki yang banyak juga merupakan satu ujian. Oleh itu, sebagai manusia kita kena sentiasa muhasabah diri. Pendek kata setiap apa yang berlaku kita perlu berfikir secara KBAT. Fikirlah di luar kotak fikiran. Kita tidak lagi mengaplikasi KBKK pada zaman yang serba moden ini. Berfikirlah secara kehadapan dan positif sentiasa.
Kenapa kita perlu reda apabila bala menimpa? Reda dalam kamus DBP bermaksud menerima dengan ikhlas. Dalam Islam ianya adalah menerima secara sepenuh hati. Keduanya mempunyai pengertian yang sama cumanya cara mengaplikasi reda ke dalam diri itu berbeza. Apabila kita semaikan sifat reda dalam diri, secara automatiknya positif dalam diri itu akan terbentuk. Contohnya kita reda dengan kemalangan yang menimpa, sudah tentu fikiran kita akan berfikir 'mungkin ada hikmah disetiap kejadian yang berlaku'. Justeru itu juga sudah tentu akan terbit sifat sabar. Selain tindak tanduk kita yang menerima segala yang tertulis. Tidak melenting, tidak putus asa, tidak kufur dan sebagainya. Pastinya segala yang baik-baik akan terbit berpunca dari reda itu semata.
Berbalik kepada ujian dari perkara-perkara baik tadi. Seperti yang kita ketahui kejayaan itu adalah ujian. Kenapa ia dikatakan ujian? Sebabnya apabila kejayaan diberi, Allah akan lihat apakah yang akan dilakukan oleh orang yang berjaya itu. Adakah dia akan bersyukur ataupun bangga diri. Kebanyakkan orang yang tidak beriman akan takbur, bongkak dan banyak lagi sifat-sifat negatif yang akan terbit dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, kadang kala orang yang beriman juga tidak dapat menempuhi ujian ini. Dia terlupa yang kejayaan itu adalah ujian buat mereka. Nauzubillah. Minta dijauhkan dari sifat mazmumah seperti itu.
Tapi reda itu bukan berserah. Bukan berserah kepada takdir. Usaha perlulah dilipat ganda untuk mencapai kejayaan. Allah kan beritahu yang hanya manusia itu sendiri perlu mengubah dirinya untuk mencapai sesuatu. Janganlah kita tersalah faham dengan pengertian reda yang telah dijelaskan. Reda yang kita bincangkan itu adalah reda dengan segala ujian, bukanya berserah dengan nasib yang telah ditentukan.
Akhir kata, kita perlu tanamkan dalam diri sifat meredai. Percayalah sifat reda itu adalah akar keimanan kita. Sudah tentu banyak perkara positif akan muncul dalam diri setiap insan yang sentiasa reda.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment