Nufnang

Thursday, October 15, 2015

Kembara Bahasa 2015


Bulan Oktober ni macam sibuk sikit. Banyak pula projek yang perlu ditempuh. Bulan Oktober jugaklah bulan yang banyak hari jadi kawan-kawan. Awal bulan je dah kena pegi Kembara Bahasa 2015(2-7 Oktober). Dari pejabat DBPWS kami bertolak ke Segamat. Sebab ada program kat Kampung Orang Asli Segamat Kechil. Selain ada pelepasan Kembara Bahasa (KB), Duta Jauhar juga ada program bersama kanak-kanak di sana. 

Mungkin ramai yang tak tahu apa itu Duta Jauhar. Duta Jauhar ni adalah satu program anjuran Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Johor untuk mendekati masyarakat tempatan. Bagi program di Segamat, pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terpilih untuk menjayakan program bersama komuniti orang asli. Pada tahun ini, mereka memilih untuk memberi pendekatan baru dalam bidang pendidikan kepada anak-anak orang asli Segamat Kechil. Pendekatan yang berbeza itu memberi satu impak yang begitu baik kepada mereka supaya dapat melahirkan masyarakat orang asli yang cintakan ilmu justeru dapat mengubah pemikiran mereka seiring dengan kemodenan zaman ini.

Manakala pasukan Kembara Bahasa mendekati masyarakat orang asli kaum Jakun ini. Mereka menunjukkan beberapa demonstrasi adat kepada peserta-peserta KB. Tujuan utama kami mendekati mereka adalah untuk mengumpul sebanyak kosakata untuk dijadikan rujukan kepada masyarakat. Kami adalah antara pejuang bahasa yang akan membawa Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. 

Setelah mempelajari adat-adat dan kosakata kaum orang asli, KB bersedia untuk pelepasan menuju ke utara, di mana kami akan berkumpul di Kedah (UUM) untuk berhimpun dari pelbagai negeri iaitu zon selatan, timur, tengah dan utara. Di sinilah kita akan pelajari pelbagai loghat dari negeri lain. Bahasa Melayu itu sebenarnya luas. Pelbagai loghat yang berteraskan Bahasa Melayu di kumpulkan dalam satu program. 

Di utara juga, kami mempelajari lagi adat, budaya dan kegiatan ekonomi mereka. Menarik juga bila kita pelajari budaya orang lain yang selama ini kita tidak pernah berpeluang pun untuk pelajarinya. 

Kembara Bahasa ini adalah satu program yang sangat bagus untuk pencinta Bahasa Melayu terutamanya orang muda. Kita perlu contohi rakyat Thailand dan Jepun. Mereka sangat menyanjungi bahasa dan budaya mereka. Dengan semangat seperti itu sebenarnya ia akan menguatkan lagi jati diri kita sebagai orang Malaysia. Jadi sebagai golongan muda yang masih mempunyai kudrat dan idea yang membuak-buak, marilah kita perjuangkan Bahasa Melayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.  

Sebelum terlupa, jika ada kemusykilan tentang kosakata Bahasa Melayu, bolehlah membuat carian di sini DBP.

Wallahualam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...