Nufnang

Sunday, October 18, 2015

Ujian dan Reda


Bila kita merasa susah, kita kena beringat ada orang yang lebih susah daripada kita. Allah itu lebih mengetahui kekuatan hambaNya. Dia pasti beri ujian kepada orang yang betul-betul boleh menempuhinya.

Ujian tu datang dengan pelbagai cara dan bentuk. Manusia biasanya nampak ujian tu adalah seperti perkara-perkara yang tidak baik. Tanggapan itu kurang tepat sebenarnya. Hidup itu sendiri adalah satu ujian. Kejayaan adalah ujian. Rezeki yang banyak juga merupakan satu ujian. Oleh itu, sebagai manusia kita kena sentiasa muhasabah diri. Pendek kata setiap apa yang berlaku kita perlu berfikir secara KBAT. Fikirlah di luar kotak fikiran. Kita tidak lagi mengaplikasi KBKK pada zaman yang serba moden ini. Berfikirlah secara kehadapan dan positif sentiasa.

Kenapa kita perlu reda apabila bala menimpa? Reda dalam kamus DBP bermaksud menerima dengan ikhlas. Dalam Islam ianya adalah menerima secara sepenuh hati. Keduanya mempunyai pengertian yang sama cumanya cara mengaplikasi reda ke dalam diri itu berbeza. Apabila kita semaikan sifat reda dalam diri, secara automatiknya positif dalam diri itu akan terbentuk. Contohnya kita reda dengan kemalangan yang menimpa, sudah tentu fikiran kita akan berfikir 'mungkin ada hikmah disetiap kejadian yang berlaku'. Justeru itu juga sudah tentu akan terbit sifat sabar. Selain tindak tanduk kita yang menerima segala yang tertulis. Tidak melenting, tidak putus asa, tidak kufur dan sebagainya. Pastinya segala yang baik-baik akan terbit berpunca dari reda itu semata. 

Berbalik kepada ujian dari perkara-perkara baik tadi. Seperti yang kita ketahui kejayaan itu adalah ujian. Kenapa ia dikatakan ujian? Sebabnya apabila kejayaan diberi, Allah akan lihat apakah yang akan dilakukan oleh orang yang berjaya itu. Adakah dia akan bersyukur ataupun bangga diri. Kebanyakkan orang yang tidak beriman akan takbur, bongkak dan banyak lagi sifat-sifat negatif yang akan terbit dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, kadang kala orang yang beriman juga tidak dapat menempuhi ujian ini. Dia terlupa yang kejayaan itu adalah ujian buat mereka. Nauzubillah. Minta dijauhkan dari sifat mazmumah seperti itu. 

Tapi reda itu bukan berserah. Bukan berserah kepada takdir. Usaha perlulah dilipat ganda untuk mencapai kejayaan. Allah kan beritahu yang hanya manusia itu sendiri perlu mengubah dirinya untuk mencapai sesuatu. Janganlah kita tersalah faham dengan pengertian reda yang telah dijelaskan. Reda yang kita bincangkan itu adalah reda dengan segala ujian, bukanya berserah dengan nasib yang telah ditentukan. 

Akhir kata, kita perlu tanamkan dalam diri sifat meredai. Percayalah sifat reda itu adalah akar keimanan kita. Sudah tentu banyak perkara positif akan muncul dalam diri setiap insan yang sentiasa reda. 

Wallahualam.




Saturday, October 17, 2015

Ulangtahun kelahiran yang ke .............................(sila kira ada brp titik ini.hihi)

Gambar terpilih... Seram tak tengok? hihihi. Semuanya berlaku pada 11 Oktober di tempat kerja. Tapi baru sempat nak kemaskini dalam blog. Tahun ni punya ucapan tak panjang berjela pon, tapi pendek dan mudah difahami. Tengoklah kat bawah ucapan dalam facebook :-
  Bismillah,
Cerita semalam.

Sakitnya kaki terpijak duri,
Kerna hendak menangkap ikan;
Kepada Tuhan kita syukuri,
Atas rezeki yang diberikan.

Terima kasih rakan-rakan yang sentiasa mengingati tarikh keramat tersebut. Yang tak perasan tu, takpe.. Tahun depan Insyallah bertemu kembali. hihihi

Terbang selisih si burung kedidi,
Terbang berduyun di waktu pagi;
Terima kasih daun keladi,
di lain tahun berjumpa lagi.


 Sebenarnya ada satu rahsia. Ak saja sembunyikan tarikh lahir dalam facebook. Tahun lepas ada buat jugak jugak, sehari sebelum hari kejadian, dah nyorokkan, lepas tu bukak balik lepas hari kejadian. Tapi tak jadi masa tu. Tahun ni nasib baik jadi. Hihihi. Jadinya tak ramai yang bagi ucapan dalam fb. So krikkk krikkk krikkk je la fb pada hari tersebut.

Bukannya apa, saja nak tengok kawan mana yang betul-betul ingat tarikh lahir ak. Kejam tak? Kalau tengok ucapan tu sepertinya kemaruk dengan pantun. Almaklumlah orang baru balik dari Kembara Bahasa. Dapat berjumpa pejuang-pejuang Bahasa Melayu. Sebab tu semangatnya lain macam. 

Kebetulan dari tarikh keramat ni, tinggal beberapa hari je nak masuk awal muharram. Maksudnya dah masuk tahun baru dalam bulan Islam. Ini jugak bermakna, umur ak telah jejak kepada angka tiga. Agaknya apa yang betul-betul belum ak capai dalam hidup ak ye?

Oh ya, asyik fikir hal keduniaan saja, adakah sudah cukup bekalan ak untuk menempuhi alam yang kekal selama-lamanya? Subhanallah, Walhamdulillah, Wallahuakbar... Muhasabahlah diri dari masa ke semasa. Semoga ak mendapat iman yang teguh dan sentiasa istiqamah dalam menuju ke jalan yang diredhai Allah swt. Insyallah

Wallahualam.

Friday, October 16, 2015

Program Outreach SMSSI

Buat pertama kalinya program outreach berjaya disempurnakan di Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar, Mersing. Gembira betul pengetua dan guru-guru yang terlibat. Manakan tidak, pelajar-pelajar begitu bersemangat ketika sesi penerangan, tidak kira yang menerangkan dan yang mendengarnya. Semoga dengan adanya program seperti ini, tahun ini akan memberikan peningkatan keputusan peperiksaan yang memberansangkan.

Program Outreach ni sebenarnya adalah satu pendekatan baru dalam era pendidikan zaman moden ini. Pelajar telah diterapkan dengan Pembelajaran Abad 21 dengan menekankan beberapa aspek yang berbeza. Contohnya kebanyakkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) adalah berfokuskan kepada minat pelajar. Pelajar lebih aktif belajar dengan cara ini. Mereka boleh menggunakan komputer, projektor dan alat-alat bantu mengajar (ABM) untuk memberi penerangan kepada rakan-rakan mereka. Guru lebih berperanan sebagai pembimbing kepada pelajar. Pelajar juga lebih keterbukaan apabila berbincang sesama mereka berbanding hanya mendengar ketika PdP dijalankan.

Selain tu juga, pendidikan zaman ini lebih menfokuskan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Mungkin banyak isu mengenai KBAT ni. Pemikiran pelajar-pelajar sekarang tidak seperti zaman kita dulu-dulu. Kalau masa sekolah dulu, kita hanya dengar Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis (KBKK). Dengan KBKK, kita hanya belajar untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, tidak seperti KBAT, pelajar mestilah belajar untuk menilai, menganalisis, mengaplikasi dan mencipta. Sebabnya perkara-perkara inilah yang akan digunakan ketika mereka menempuhi alam pekerjaan kelak. 

Lagipun, kanak-kanak sekarang lebih cepat mempelajari perkara-perkara baru, disamping mempunyai kelebihan dan bakat tersendiri. Sebagai ibu bapa, kita perlu mempelajari cara mendidik anak zaman ini. Tetapi jangan dilupa, walaupun kita mengikut arus peredaran zaman, Ilmu agama itu adalah paling penting. Kita perlu kembali kepada asal iaitu tujuan kita dicipta di bumi ini. Akhirat itu adalah tempat kita untuk selama-selamanya. 

Wallahualam.....

Thursday, October 15, 2015

Kembara Bahasa 2015


Bulan Oktober ni macam sibuk sikit. Banyak pula projek yang perlu ditempuh. Bulan Oktober jugaklah bulan yang banyak hari jadi kawan-kawan. Awal bulan je dah kena pegi Kembara Bahasa 2015(2-7 Oktober). Dari pejabat DBPWS kami bertolak ke Segamat. Sebab ada program kat Kampung Orang Asli Segamat Kechil. Selain ada pelepasan Kembara Bahasa (KB), Duta Jauhar juga ada program bersama kanak-kanak di sana. 

Mungkin ramai yang tak tahu apa itu Duta Jauhar. Duta Jauhar ni adalah satu program anjuran Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Johor untuk mendekati masyarakat tempatan. Bagi program di Segamat, pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terpilih untuk menjayakan program bersama komuniti orang asli. Pada tahun ini, mereka memilih untuk memberi pendekatan baru dalam bidang pendidikan kepada anak-anak orang asli Segamat Kechil. Pendekatan yang berbeza itu memberi satu impak yang begitu baik kepada mereka supaya dapat melahirkan masyarakat orang asli yang cintakan ilmu justeru dapat mengubah pemikiran mereka seiring dengan kemodenan zaman ini.

Manakala pasukan Kembara Bahasa mendekati masyarakat orang asli kaum Jakun ini. Mereka menunjukkan beberapa demonstrasi adat kepada peserta-peserta KB. Tujuan utama kami mendekati mereka adalah untuk mengumpul sebanyak kosakata untuk dijadikan rujukan kepada masyarakat. Kami adalah antara pejuang bahasa yang akan membawa Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. 

Setelah mempelajari adat-adat dan kosakata kaum orang asli, KB bersedia untuk pelepasan menuju ke utara, di mana kami akan berkumpul di Kedah (UUM) untuk berhimpun dari pelbagai negeri iaitu zon selatan, timur, tengah dan utara. Di sinilah kita akan pelajari pelbagai loghat dari negeri lain. Bahasa Melayu itu sebenarnya luas. Pelbagai loghat yang berteraskan Bahasa Melayu di kumpulkan dalam satu program. 

Di utara juga, kami mempelajari lagi adat, budaya dan kegiatan ekonomi mereka. Menarik juga bila kita pelajari budaya orang lain yang selama ini kita tidak pernah berpeluang pun untuk pelajarinya. 

Kembara Bahasa ini adalah satu program yang sangat bagus untuk pencinta Bahasa Melayu terutamanya orang muda. Kita perlu contohi rakyat Thailand dan Jepun. Mereka sangat menyanjungi bahasa dan budaya mereka. Dengan semangat seperti itu sebenarnya ia akan menguatkan lagi jati diri kita sebagai orang Malaysia. Jadi sebagai golongan muda yang masih mempunyai kudrat dan idea yang membuak-buak, marilah kita perjuangkan Bahasa Melayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.  

Sebelum terlupa, jika ada kemusykilan tentang kosakata Bahasa Melayu, bolehlah membuat carian di sini DBP.

Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...